REVIEW : JAM!! Art Fazil feat. Baba Andy ( Flop Poppy) & Imuda


REVIEW : JAM!! Art Fazil feat. Baba Andy ( Flop Poppy) & Imuda

Klik di sini untuk melayarai dan “subscribe” MORO Records

Okeh bro, kali ni kita akan ‘review’ atau ulas sikit pasal single terbaru  “JAM!!” dari Art Fazil dengan menampilkan Andy Flop Poppy dan Imuda.

‘Review’ ini berkenaan lagu, jadi rasanya, tak perlu diperkenalkan lagi siapa mereka dan bagi industri muzik tempatan mereka agak dikenali ramai, sekurang- kurangnya mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Tapi sekiranya ada yang tak kenal siapa mereka, sila tonton ‘klip’ di atas. Mereka juga sebelum ini dikenali melalui lagu RILEK BRADER.

‘Okeh’, sedikit sejarah dan latarbelakang lagu JAM!! ni. Dihasilkan dan disimpan agak lama dan berkemungkinan 10-20 tahun yang lepas dan rakaman hanya bermula sekitar penghujung 2019 dan selesai sekitar bulan Januari 2020 dan diedarkan pada bulan Mac 2020. Art Fazil mengambil masa yang agak lama untuk mencari gabungan yang sesuai untuk berkolaborasi dan akhirnya Imuda dan Andy Flop Poppy menjadi pilihan.

  • Muzik & Lirik: Art Fazil (Moro Music Publishing)
  • Syarikat Rakaman: Moro Records

TENAGA RAKAMAN

 

Apa yang menarik mengenai lagu JAM!! ni, Art Fazil mengenengahkan situasi yang biasa dihadapi oleh masyarakat bandar di dalam liriknya, dan mengikut kepada keadaan masakini pada tarikh “review” ini ditulis (Mac- April 2020), situasi ini mungkin agak “dirindui” oleh sesetengah penduduk bandar yang dah semakin tepu duduk di rumah. Tapi ianya juga “rahmat” bagi mereka yang perihatin pada persekitaran dunia pada hari ini. Ianya juga mengingatkan saya pada salah satu lagu nyanyian Sahara Yaakob dalam albumnya dikeluarkan pada tahun 1986 yang bertajuk Trafik Jam.

Dari segi rakaman, penghasilan lagu dan penggunaan instrument atau “playing wise”, memang tidak dapat dinafikan kualitinya atau bak kata mereka dikalangan pemuzik…dasyat, memandangkan ianya dibelakangi atau dibarisi oleh pemuzik- pemuzik yang berpengalaman, mahir dan profesional.

Genre blues sememangnya sesuai untuk lagu sebegini memandangkan ianya sebagai satu luahan atau “expression” kepada kebanyakan pemuzik yang ingin melontarkan sesuatu isu dengan cara yang lebih santai dan bersahaja.

Bagi penggemar muzik blues, susunan dan olahan dalam lagu ini memang tidak asing lagi dan dimainkan pada hampir kebanyakan lagu terutamanya lagu bergenre blues dengan penggunaan corak 12 bar (12th bar), solo harmonika dan corak “chorus” yang berulang. Susunan dimana lagu ini dimulakan dengan barisan “chorus” JAM!!! membawa pendengar terus ke maksud lagu yang ingin disampaikan, ringkas dan mudah untuk diingati atau menjadi siulan tak kala “tersangkut” ditengah kesesakan lalu lintas (Jem lah tu).

Penggunaan riffs mengingatkan saya kepada lagu La Grange dan ianya  menjadi satu kelaziman dalam kebanyakan lagu blues. Bagi lagu yang santai, secara keseluruhan  lagu ini agak menarik, tapi dari segi penggunaan instrumen dalam lagu ini,  secara peribadi sebagai penggemar muzik rock/blues, saya mungkin akan lebih tertarik sekiranya solo harmonika di tengah lagu disambut dengan petikan solo gitar eletrik yang agak agresif bagi menaikkan climax pada lagu tersebut memandangkan Art fazil pun dah sakit pinggang ketika solo gitar akustik dimainkan. Atau mungkin dimasukkan pada bahagian akhir video tersebut di mana pemandu sudah mula turun dan menari sekali dengan makcik (nampak macam) di dalam video pun turut keluar menari. Mungkin Art Fazil ingin mengekalkan rentak lagu yang agak kurang agresif, ringan dan lebih mudah didengari oleh pelbagai peringkat masyarakat.

Untuk lagu ini dijadikan sebagai siulan atau nyanyian pada situasi dan keadaannya, lagu ini boleh dianggap mencapai maksudnya dan boleh dikatakan “layan”. Tapi untuk menjadi hit mungkin memerlukan promosi yang lebih, memandangkan lagu ini boleh dikatakan agak “typical” blues. Setiap bahagian lagu sudah boleh dijangka dari mula hingga ke akhir.

Walaubagaimanapun, selagi anda terhibur dengan sesebuah lagu, ianya sudah memadai bagi kebanyakan pencipta dan juga pendengar. Tapi bagi sesetengah pendengar terutamanya yang cenderung kearah muzik, mereka mungkin mengharapkan satu kepelbagaian atau kelainan. Mungkin juga kelainan yang tidak dijangka.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pencipta akan menghasilkan kepelbagaian diantara lagu-lagu yang dihasilkan, dan bagi lagu JAM!! ini mungkin salah satu lagu yang dihasilkan dalam bentuk dan corak lagu yang lebih santai. Anda mungkin boleh cuba mendengar lain- lain lagu dari MORO Records terutamanya lagu ciptaan dan nyanyian Art Fazil di laman Youtube mereka.

Cadangan lagu, sila klik tajuk lagu di bawah ;

Kerana Mu – Art Fazil Bersama Caravan of Praise
Good Morning Jogja – Art Fazil
Klik ke MORO Records youtube

Okeh, saya tidak akan memberikan rating atau perbandingan dalam setiap ulasan saya samada yang terkini mahu pun yang akan datang. Mungkin pembaca boleh memberikan rating  sendiri anda diruangan komen, hantaran facebook atau pun di Youtube.

Pengulas

Rokerama (penggemar muzik yang poyo)

Shahrul Nizam (Pemain bass dari kumpulan Nafael Blues Band)

Penghargaan kepada Nik Jassmin (MORO Records)