Anda mungkin menghadapi beberapa masalah semasa mencetak. Lebih- lebih lagi bagi anda yang baru menceburi bidang percetakan t-shirt ini.
Saya akan huraikan beberapa masalah yang mungkin anda hadapi, berserta penyelesaian yang mungkin boleh anda gunakan sebagai panduan.
Artikel ini mungkin tidak meliputi kesemua masalah yang mungkin anda akan hadapi, dan anda mungkin menghadapi masalah yang mungkin jarang dihadapi. Anda boleh kongsikan masalah di ruangan “comment”. Ia mungkin boleh membantu pembaca mengenal pasti lain-lain permasalahan yang mungkin tidak dinyatakan di sini.
Saya akan bahagikan kepada beberapa peringkat mengikut proses penyediaan cetakan t-shirt
PEMASANGAN “MESH” dan BINGKAI (BLOCK)
- Mesh “beralun” di bahagian tepi bingkai
Sebab-sebab : Melekatkan mesh menggunakan “gun tacker”
Penyelesaian
Gunakan Mesh Stretcher atau gunakan “gripper” agar tarikan anda sekata semasa melekatkan mesh dengan bingkai menggunakan “gun tacker”.
- Mesh mengendur setelah selesai melekatkan menggunakan “stretcher”.
- Block anda “menyenget” (kayu).
Sebab-sebab : Penggunaan bingkai aluminium yang disambungkan menggunakan “rivet” yang tidak mencukupi dan kayu yang tidak mengikut kaedah penyambungan yang betul.
Penyelesaian
Gunakan mata rivet dua atau empat penjuru, dan lekatkan “angle L” di setiap sambungan di bahagian dalam bingkai.
Gunakan bingkai yang disambungkan menggunakan kaedah kimpalan atau “welding” bagi penggunaan bingkai besi, atau “brazing” bagi penggunaan bingkai (block) aluminium.
Sekiranya anda menggunakan bingkai kayu, pastikan sambungannya mengikut kaedah yang betul dan mampu menahan tekanan. Juga pastikan “angle L” dilekatkan di setiap sambungan bahagian dalam bingkai.

PENYAPUAN “PHOTO EMULSION”
- Sapuan emulsion yang tidak sekata dan seakan “bertompok”
Sebab-sebab : Mesh anda tidak dicuci dengan bersih sebelum memulakan sapuan emulsion. Kemungkinan terdapat kesan-kesan minyak pada permukaan mesh.
Penggunaan emulsion yang tidak mencukupi.
Mesh yang terlalu kendur
Penyelesaian
Bersihkan mesh yang telah siap dipasang menggunakan sabun cucian pinggan bagi membersihkan kesan minyak atau kotoron pada permukaan mesh. Kaedah ini sesuai bagi penggunaan cetakan berasaskan “solvebt” seperti cetakan plastisol atau pvc. Ia tidak menjadi satu masalah besar bagi penggunaan cetakan “rubberize” atau “waterbase”
Semasa menuangkan emulsion pada “scoop coater”, isi dengan secukupnya bagi mengelakkan sapuan yang tidak sempurna.
Pastikan ketegangan mesh anda mencukupi agar tarikan anda sekata. Tekanan tarikan akan memberikan kesan ketebalan emulsion pada bahagian yang mengendur.


PENDEDAHAN (EXPOSURE) DAN CUCIAN
- Imej pada skrin pudar dan sukar ditanggalkan
Sebab- sebab : Tempoh masa dedahan yang terlalu lama
Imej pada output yang kurang gelap
Cetakan imej pada output pada kedudukan “emulsion down” bagi cetakan halftone
Penyelesaian
Buat sedikit percubaan dan pengiraan masa bagi mendapatkan tempoh dedahan yang sesuai untuk anda. Anda mungkin boleh mencuba penggunaan “exposure calculator” atau apa-apa cara yang biasa anda gunakan bagi menentukan jangkamasa dedahan. Tempoh dedahan mungkin berbeza bagi setiap pencetak bergantung pada jenis emulsion, jenis penggunaan lampu, jarak dan kedudukan lampu serta tahap kegelapan imej pada output.
Tahap kegelapan output mungkin tidak menjadi masalah besar bagi sesetengah jenis kotak lampu, walaubagaimanapun sebaik-baik film output adalah yang berwarna gelap secukupnya pada imej
Pastikan cetakan pada film output anda berada pada keadaan “emulsion up” bagi cetakan haftone atau yang berimej halus. Ia tidak menjadi masalah bagi cetakan “solid” dan kasar

- Imej pada skrin memecah dengan mudah
Sebab- sebab : Pendedahan cahaya yang kurang mencukupi atau terlalu cepat
Sapuan emulsion yang tidak kering sepenuhnya
Penggunaan emulsion yang telah luput jangkamasa
Penyelesaian
Buat sedikit percubaan dan pengiraan masa bagi mendapatkan tempoh dedahan yang sesuai untuk anda. Tempoh dedahan mungkin berbeza bagi setiap pencetak bergantung pada jenis emulsion, jenis penggunaan lampu, jarak dan kedudukan lampu serta tahap kegelapan imej pada output.
Keringkan sapuan emulsion anda secukupnya, atau sebaik-baiknya simpan blok di tempat tertutup dan tidak terdedah pada cahaya semalaman sebelum keringkannya semula sebelum pendedahan dibuat.
Anda juga boleh mengeringkannya menggunakan kipas sebelum anda menggunakan pengering rambut. Sapuan emulsion pada dua permukaan luar dan dalam memerlukan anda memastikan sapuan anda benar- benar kering.
Dapatkan nasihat pembekal berkenaan kadar penggunaan dan simpanan emulsion anda. Sesetengah emulsion mampu bertahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk. Pastikan emulsion ditutup rapat setelah penggunaan.
- Imej pada block tidak sempurna atau tidak kemas atau tidak “sharp” selepas dedahan
Sebab- sebab : Jangkamasa dedahan yang tidak mencukupi
- Sesetengah bahagian emulsion terutamanya bahagian tepi blok anda sukar dikeluarkan dan akhirnya memecah
Sebab- sebab : Tindihan pada atas skrin tidak sempurna atau benar- benar menindih permukaan skrin dan film anda
Susunan lampu yang tidak meliputi sesetengah bahagian, disamping jarak di antara cermin dan lampu yang terlalu rapat. Anda boleh kenal pasti melalui melalui emulsion yang berbelang- belang selepas dedahan.
Penyelesaian
Buat sedikit percubaan dan pengiraan masa bagi mendapatkan tempoh dedahan yang sesuai untuk anda. Tempoh dedahan mungkin berbeza bagi setiap pencetak bergantung pada jenis emulsion, jenis penggunaan lampu, jarak dan kedudukan lampu serta tahap kegelapan imej pada output.
Pastikan cermin anda berada dalam keadaan bersih dari sisa-sisa emulsion terdahulu, dan juga habuk- habuk yang kasar yang mampu memberikan kesan tindihan.
Penggunaan kotak exposure yang menggunakan “vacuum” adalah yang terbaik.
Lapikkan permukaan block menggunakan “sponge” diikuti dengan papan dan pemberat yang sesuai dan mencukupi.
- Terdapat selaput berkilat atau “scum layer” walaupun hasil selepas “exposure” kelihatan sempurna
Sebab- sebab : Cucian yang tidak menyeluruh pada skrin selepas dedahan.
Lelehan emulsion mengalir meliputi imej.
Penyelesaian
Ratakan air di keseluruhan permukaan skrin sehingga menampakkan imej dalam anggaran 30 saat ke 1 minit. Ini bagi menghilangkan lapisan emulsion yang melekit semasa meratakan air. Sesudah itu baru anda mulakan menyembur air pada imej di skrin
Sebaiknya, sesudah selesai mencuci imej pada skrin, bilas semula dengan meratakan air dan biarkan blok anda dalam keadaan terbaring bagi mengelakkan lelehan air meleleh ke permukaan imej
Setelah kering, ambil kain basah dan lap dengan perlahan di permukaan skrin dan keringkan. Sekiranya masih terdapat lapisan berkilat, lapkan semula dengan kain basah sehingga lapisan tersebut hilang.
Anda mungkin boleh mencuba teknik yang dikongsikan dalam ruangan perkongsian artikel (Selaput putih @dara) di blog ini.
Anda juga boleh menggunakan penyembur angin (Air Compressor) bagi menghilangkan lapisan tersebut, dan ia juga satu alat yang agak berguna sekiranya anda menghasilkan cetakan “halftone”
CETAKAN T-SHIRT
- Cetakan tidak mengeluarkan dakwat sepenuhnya atau tidak sempurna
Sebab-sebab : Imej pada skrin masih diselaputi lapisan berkilat (scum layer)
Penyelesaian
Ikuti cara yang ditunjukkan seperti penyelesaian “scum layer”
Sebab-sebab : Dakwat yang terlalu pekat, lebih-lebih penggunaan dakwat rubberise dan hanya bertahan selepas dua atau tiga kali cetakan
Penyelesaian
Pastikan dakwat yang akan anda gunakan mempunyai kepekatan yang mencukupi, tidak terlalu pekat dan juga tidak terlalu cair. Campurkan “binder” secukupnya bagi penggunaan dakwat rubberise, atau air bagi poenggunaan dakwat berasaskan air atau “waterbase”.
Sebab- sebab: Permukaan papan cetak (platen) yang tidak rata
Penyelesaian
Anda pasti tahu apa yang perlu anda buat
Sebab- sebab: Penggunaan squeegee yang kurang tepat
Penyelesaian
Squeege bagi penggunaan dakwat rubber atau waterbase adalah berbeza dengan squeegee yang digunakan bagi penggunaan dakwat plastisol atau yang berasaskan “solvent”
Bagi cetakan rubberise, kebiasaannya menggunakan squeegee yang diperbuat dari getah. Kebiasaannya berbentuk tirus dan meruncing. Kadar kemampatan atau “durometer” juga tidak terlalu keras dan agak lembut apabila mencetak. Saya tidak akan memeningkan anda dengan bacaan atau kiraan. Anda boleh bertanyakan dari pembekal anda. Bagi penggunaan cetakan plastisol pula, kadar kekerasan agak berbeza dan kebiasaannya berbentuk petak atau bersegi. Agak keras berbanding squeegee cetakan rubberise.

Sebab- sebab: Tekanan squeegee yang tidak mencukupi semasa mencetak
Penyelesaian
Anda perlu biasakan dengan mencetak untuk dapatkan tekanan yang mencukupi. tekanan berlebihan juga memberikan kesan yang kurang kemas atau terdapat lebihan yang tidak sepatutnya. Penggunaan pelapik papan cetak seperti sponge juga perlu disesuaikan dengan kaedah cetakan. kebiasaannya digunakan bagi cetakan rubberise.
Ia agak mudah bagi penggunaan mesin cetak automatik, di mana anda boleh menetapkan tekanan bagi setiap cetakan yang akan anda gunakan.
- Cetakan yang bertompok atau seperti melekat selepas anda mencetak
Sebab- sebab: Dakwat yang terlalu pekat dan semakin memekat setiap kali selepas cetakan
Suhu ruang atau bilik cetakan yang agak tinggi
Penyelesaian
Bancuh dengan kepekatan yang sesuai
Cari jalan agar anda mampu mendapatkan suhu bilik yang tidak terlampau tinggi
Anda boleh cuba dapatkan dakwat yang mampu bertahan dalam keadaan cuaca yang panas. Anda boleh bertanyakan dari pembekal anda
- Baju pada papan cetak tidak melekat dan tertarik selepas setiap cetakan
Sebab- sebab: Gam atau “table glue” yang berkurangan atau tidak lagi kuat lekatannya
Penyelesaian
Sapukan “table glue” pada papan cetak
- Cetakan lari dari tetapan (marking)
Sebab- sebab: Kecuaian semasa membuat tetapan
Penyelesaian
Jangan cuai
Sebab- sebab: Baju tertarik dari papan cetak
Penyelesaian
Pastikan kadar lekatan “table glue” mencukupi
Sebab- sebab: Sambungan block yang tidak sempurna atau tidak kuat, lebih- lebih lagi bagi penggunaan block kayu, dan penggunaan paku yang tidak cukup kuat pakuannya.
Penyelesaian
Sekiranya anda menggunakan block kayu, pastikan sambungan cukup kuat bagi menahan tekanan. Gunakan sesiku atau “angle” besi di setiap sudut dan teknik penyambungan yang betul.
Penggunaan paku yang cukup kuat pakuannnya agar ia tidak mudah bergerak
Sebab- sebab: “Lalok”
Penyelesaian
Berdisiplin semasa sedang berkerja.
- Warna dakwat cetakan tidak menyerlah dari yang sepatutnya
Sebab- sebab : Penggunaan dakwat yang tidak sesuai dari segi kadar kepekatan
Penyelesaian
Terdapat kiraan kadar kepekatan bagi setiap jenis dakwat yang serupa. Kebiasaannya dimulakan dari abjad 100,120 dan 200. Bagi 100, kadar kepekatannya adalah kurang atau “translucent”. 120 bagi separuh translucent dan 200 bagi kadar “opaque” (sebutan : O-PEYK) yang tinggi atau kebiasaannya bagi dakwat putih
Sebab- sebab: Tidak menggunakan “underbase”
Penyelesaian
Gunakan underbase bagi setiap cetakan berwarna bagi mendapatkan cetakan yang “solid” terutamanya cetakan di atas t-shirt berwarna gelap. Ia tidak semestinya putih. Anda boleh gunakan warna yang berasaskan putih seperti “cream”, merah jambu, biru laut sebagai contoh, mengikut warna yang akan anda cetak di atasnya atau mewakili keseluruhan rekaan.
Mungkin terdapat banyak lagi permasalahan yang tidak dinyatakan di sini, atau terlepas pandang. Anda boleh kongsikan di ruangan “comment” atau abaikan sahaja.
Semoga artikel ini bermanafaat untuk anda sebagai rujukan
Terima Kasih