TEKNIK CETAKAN “EMBOSS”


Penggunaan dakwat emboss, agak popular dikalangan pencetak t-shirt tempatan pada awal permulaan saya berkecimpung dalam bidang percetakan t-shirt ini, dan sehingga kini ia masih luas digunakan memandangkan permintaan pada cetakan emboss ini masih menjadi pilihan pelanggan. Sehingga kini, permintaan bagi cetakan emboss ini, masih menjadi pilihan walaupun saya beranggapan ianya menjadi pilihan bagi cetakan baju untuk kanak-kanak.

Saya cuba untuk tidak lagi mencetak menggunakan dakwat emboss bagi kebanyakan rekaan t-shirt, dan terhad hanya kepada rekaan bagi baju kanak-kanak, tetapi sesetengah pelanggan dewasa masih lagi meminati cetakan ini, terutamanya bagi kategori yang berumur.

Sekadar hiasan
Sekadar hiasan

Walaubagaimanapun, ianya bergantung pada rekaan yang anda akan hasilkan.

BANCUHAN

Kebiasaannya, saya akan mencampur dakwat emboss dengan dakwat “rubber”, atau “plastisol”, bergantung kepada teknik cetakan yang akan saya gunakan. Saya akan tekankan mengenai penggunaan teknik “rubberise” memandangkan mereka yang masih baru kebiasaannya akan menggunakan jenis cetakan “rubberise”

Anda boleh menyukat menggunakan sukatan Emboss : Rubber pada nisbah 1:1 atau 2:1. Walaubagaimanapun, sukatan yang lebih antara kedua- dua jenis dakwat tersebut bukanlah menjadi satu masalah. Terpulang kepada anda samaada ingin cetakan emboss tersebut memberikan kesan yang lebih atau kurang.

CETAKAN

Hasil dari cetakan emboss juga bukan bergantung kepada dakwat emboss itu semata- mata. Pengasingan warna dan aturan cetakan juga memainkan peranan dalam menghasilkan kesan emboss yang lebih “bergaya”. Anda mampu menghasilkan cetakan emboss yang bertekstur (texture) mengikut daya kreativiti anda. Walaubagaimanapun, pengasingan warna bagi cetakan emboss lebih sesuai bagi teknik pengasingan “spot”. Cetakan halftone agak tidak sesuai, tetapi ia tetap terpulang kepada anda dan anda tidak perlu kisah. Sekiranya anda rasa anda perlu dan boleh buat, anda buat.

Sekadar hiasan
Sekadar hiasan

Tarikan dan jenis “squeegee” juga memainkan peranan dalam menentukan hasil yang baik, disamping penggunaan papan lapik yang mempunyai “sponge” bagi pengeluaran dakwat yang lebih.

Sebaik- baik cetakan emboss, dimulakan dulu dengan cetakan “underbase” menggunakan dakwat biasa (rubber) yang mempunyai kadar “opaque” yang tinggi, atau sekurang-kurangnya sederhana. Walaubagaimanapun, sebaik- baik cetakan, dimulakan dengan “bismillah” terlebih dahulu.

emboss_screen_printing

Pastikan cetakan anda dikeringkan sebelum anda mulakan dengan cetakan emboss. Penggunaan dakwat yang mencukupi juga memberikan kesan pada hasil cetakan. Saya tidak menggalakkan anda menggunakan dakwat yang sekadar mencukupi untuk satu atau dua tarikan sehingga anda perlu “mengorek” dakwat yang berada di bahagian tepi blok anda. Isikan secukupnya.

Anda boleh, samada mencetak dua atau tiga lapisan emboss dengan setiap lapisan dikeringkan atau cukup sekadar satu lapisan underbase dan satu lapisan emboss. Ia bergantung berapa ketebalan yang anda perlukan. Buat sedikit percubaan bagi mendapatkan ketebalan yang anda inginkan. Walaubagaimanapun, sekiranya melebihi had yang sepatutnya, berkemungkinan hasil cetakan anda akan menjadi agak pelik, atau menyerupai “texture” kulit gajah (itu yang boleh saya gambarkan)..mungkin ianya nampak hebat sekiranya anda mencetak imej gajah.

Selepas lapisan emboss dicetak, anda boleh mencetak satu lagi lapisan dakwat “rubber” di atas cetakan emboss bagi mengekalkan warna yang anda inginkan. Ini memandangkan hasil cetakan emboss akan sedikit bertukar warnanya menjadi agak pudar setelah dipanaskan bagi menampakkan kesan emboss tersebut.

Sekiranya anda tidak mempunyai “heatpress” bagi menampakkan kesan emboss, anda boleh menggunakan penggosok baju (iron/seterika) dengan menetapkan kepanasan yang maksimum. Anda boleh, samaada melapikkan cetakan anda dengan kain yang agak nipis, atau menggosokkannya dari bahagian dalam baju. Atau anda boleh saja menekapkan terus pada cetakan tersebut.

Penggunaan pemanas atau peralatan seperti “flash cure” atau “heat blower” juga boleh digunakan bagi menampakkan kesan emboss.

JENIS- JENIS DAKWAT EMBOSS

Terdapat beberapa jenis dakwat emboss di pasaran yang mampu menghasilkan kesan emboss yang berbeza. Sebaiknya anda bertanyakan pada pembekal atau rakan- rakan anda yang pernah atau biasa mengamalkan cetakan emboss.

Cetakan emboss pada dasarnya tiada bezanya dengan cetakan lain. Ianya sekadar penggunaan dakwat, aturan cetakan dan penyudah yang betul.

Gunakan kreativiti anda untuk mendapatkan hasil yang anda inginkan, selamat mencuba.­

Advertisements