Penggunaan Halftone dalam percetakan t-shirt memang amat mengujakan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru “khatam” akan penggunaannya. Anda mampu untuk menghasilkan cetakan hampir tiada had dari segi rekaan. Dari kesan seperti api, air, asap hinggalah kepada texture kulit limau.
Walaubagaimanapun, penggunaan halftone yang agak berlebih-lebihan agak menjengkelkan dan kadangkala akan menjadikan rekaan anda seperti cetakan yang agak “murahan”. Murahan yang dimaksudkan, bukanlah bererti cetakan itu tiada bernilai. Penggunaan halftone yang kadangkala tidak kena pada tempatnya mungkin mencacatkan rekaan (bukan cetakan) anda, atau boleh dikatakan sebagai “halftone selagi boleh”.
Ia haruslah bergantung pada sesuatu rekaan itu sendiri. Penggunaan warna solid juga memainkan peranan dalam menghasilkan cetakan t-shirt yang baik walaupun ia nampak seakan perlu kepada penggunaan halftone. Jadi, di situlah tibanya di mana penghasilan rekaan yang dihasilkan sendiri memainkan peranan. Anda mungkin boleh menggunakan imej yang di ambil dari internet sebagai salah satu dari rekaan anda. Tetapi sekiranya rekaan tersebut diambil hampir 100% dari internet, ia mungkin agak menghadkan anda dalam menyediakan pengasingan warna yang baik. Ya, anda boleh saja menggunakan halftone, tapi adakah ia benar-benar sesuai?
Penggunaan teknik simulated juga bukanlah sekadar menghasilkan cetakan halftone. Ia juga amat berguna bagi penghasilan “spot color”. Saya amat menggemari penggunaan teknik simulated memandangkan ia boleh digunakan untuk hampir semua teknik pengasingan merangkumi halftone, spot dan begitu juga index. Walaubagaimanapun, bagi kaedah pengasingan index, anda harus melalui proses asasnya sebelum memulakan dengan teknik simulated. Anda juga harus berhati-hati semasa menghasilkan warna spot menggunakan teknik ini, memandangkan ia mungkin menghasilkan sedikit ruang di antara satu warna dengan warna yang lain tanpa anda sedari.
Anda juga harus tahu bila masanya anda perlukan halftone atau tidak. Anda juga boleh menggunakan kedua-duanya dalam setiap cetakan.
Penggunaan frequency juga memainkan peranan. Bagi rekaan yang agak realistik, penggunaan halftone yang agak halus mungkin memberikan kesan yang baik seperti kesan air ataupun asap. Tapi sekiranya rekaan anda berasaskan dari hasil lukisan seperti karektar komik atau yang seakannya, penggunaan frequency di antara 15-45 lpi sudah mampu menghasilkan cetakan yang cukup baik.
Ia bukanlah mengenai seberapa halus cetakan yang anda mampu hasilkan. Ia juga bukan mengenai berapa hebatnya anda menghasilkan block yang mempunyai halftone yang halus. Ia adalah mengenai rekaan anda itu sendiri. Ia bergantung kepada jenis rekaan yang anda hasilkan samaada anda pereka rekaan yang gemar meghasilkan rekaan yang berupa realistik atau yang berasaskan lukisan. Dari situ, barulah anda boleh tentukan samaada penggunaan halftone diperlukan atau tidak, berapa halus frequency yang diperlukan, berapa banyak “like” anda harapkan dan sebagainya.
Sekiranya anda mampu menghasilkan rekaan yang baik dan hebat, anda mungkin tidak perlu langsung menggunakan halftone. Malah cetakan satu warna juga sudah mencukupi.
Anda mungkin boleh mencuba tahap kemahiran anda dengan penghasilan halftone yang “bersimpang siur” dan halus sehalus-halusnya bagi menguji kemampuan anda, tetapi pada akhirnya anda hanya perlu menggunakannya sekadar yang diperlukan. Ia sama seperti pengeluar kereta yang mempromosi kereta mereka di litar-litar lumba dengan penggunaan enjin berkelajuan tinggi dan akhirnya mengeluarkan kereta yang sesuai untuk anda gunakan di jalanraya. (nampaknya teknik penulisan saya agak semakin berbunga-bunga…”like” untuk diri saya sendiri dan mereka yang marahkan burger yang dikukus????)
Sekain terima kasih
ROKERAMA